News & Happening

Signing Ceremony MOU

Signing Ceremony MOU

Kerajaan Negeri Melaka telah diberikan penghormatan sekali lagi apabila turut dijemput untuk bersama-sama YB Dato' Seri Tiong King Sing (拿督斯里张庆信), Menteri Pelancongan, Seni & Budaya Malaysia menghadiri kunjung hormat kepada HE Aziz AbduKhakimov, Menteri Ekologi, Perlindungan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Republik Uzbekistan pada petang ini sempena Perhimpunan Agung Sesi Ke-25 World Tourism Organization (UNWTO) di Samarkand, Uzbekistan.
Hadir sama di program ini YBhg. Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan YB Datuk Wira Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.
Pertemuan ini menandakan sebuah peristiwa penting untuk kedua-dua buah negara untuk berkongsi pandangan dan membincangkan strategi yang boleh membantu pertumbuhan dan kelestarian industri pelancongan masing-masing.
Uzbekistan merupakan salah satu rakan rapat Malaysia dalam kerjasama pelancongan. Pasca pandemik menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong dari Uzbekistan dan sehingga Julai 2023, Malaysia telah menerima hampir 10,000 pelancong dari Uzbekistan.
Hari ini juga turut mencatatkan peristiwa penting apabila satu Memorandum Persefahaman dalam Kerjasama Pelancongan di antara Malaysia dan Uzbekistan dimeterai dan ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dalam sektor pelancongan termasuk bagi negeri Melaka.
Melaka dan Uzbekistan mempunyai persamaan dan kekuatan dalam bidang pelancongan yang meliputi aspek warisan sejarah, budaya, seni , gastronomi dan program-program kebudayaan yang masih terpelihara yang memperkukuh tarikan pelancongan bagi kedua-dua destinasi.

CONTACT US:
Tourism Promotion Division
Chief Minister of Melaka

Lot G-14, Kota Cemerlang,
75450 Ayer Keroh, Melaka
Phone: +6 06-232 8402
Email: admin@visitmelaka.com.my